Sunday, August 8, 2010

Prinsip dan Konsep Teori Pembelajaran Sosial

Prinsip Asas Teori Pembelajaran Sosialis

Setiap teori pembelajaran mempunyai prinsip-prinsip asas yang akan diterapkan dalam proses pembelajan. Dalam teori pembelajaran sosialis yang diperkenalkan oleh Albert Bandura, kami telah berjaya meneliti 4 prinsip asasnya iaitu:

a. Pembelajaran setiap individu dapat dilakukan melalui pemerhatian tingkah laku orang lain atau permodelan.

b. Perubahan tingkah laku mungkin akan berlaku ataupun tidak akan berlaku dalam proses pembelajaran.

c. Proses pembelajaran menekankan peranan yang dimainkan oleh perkembangan kognitif
individu yang terlibat.

d. Teori pembelajaran sosialis akan dijadikan sebagai perantaraan teori pembelajaran
behavioris dan teori pembelajaran kognitif.

Prinsip-prinsip yang ternyata di atas sebenarnya merupakan asas kepada teori pembelajaran sosialis. Albert Bandura memperkenalkan prinsipnya yang pertama iaitu setiap individu dapat belajar melalui pemerhatian tingkah laku orang lain atau secara ringkasnya islah konsep permodelan. Dalam prinsip ini, individu yang memerhati merupakan individu yang sedang mengalami proses pembelajaran manakala individu yang diperhatikan merupakan model. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dalam institusi pendidikan, individu yang memerhati merupakan para pelajar manakala individu yang menjadi model adalah guru yang mengajar. Para pelajar akan meniru aksi, kelakuan, tingkah laku dan juga sikap yang akan dipamerkan oleh guru yang mengajar. Oleh itu, adalah amat penting bagi seseorang guru untuk menyediakan informasi yang betul dan pengendalian penyampaian maklumat yang efektif agar para pelajar dapat meniru atau mempelajari bidang ilmu yang
diajar.

Konsep permodelan ini sebenarnya merupakan salah satu peniruan seseorang individu terhadap pemerhatian yang dilakukan. Dalam proses pembelajaran melalui permodelan atau peniruan, individu yang meniru akan melengkapkan empat langkah tertentu iaitu pemerhatian, penyimpanan, pengeluaran dan motivasi. Langkah pemerhatian adalah proses di mana pemerhati atau peniru itu melihat tingkah laku individu yang ingin ditiru. Selepas itu, tingkah laku yang ditiru itu akan diingatkan iaitu dalam langkah penyimpanan. Apabila individu yang meniru ini didedahkan kepada situasi yang sama, dia akan menghasilkan tingkah laku yang serupa dengan tingkah laku yang diperhatikan. Ini merupakan langkah pengeluaran. Sekiranya tingkah laku si peniru itu mendapat pujian atau peneguhan positif, tingkah laku itu akan dipergiatkan lagi. Sekiranya perkara yang sebaliknya yang berlaku maka tingkah laku tersebut tidak akan diulangi oleh si peniru.

Sebenarnya terdapat lagi satu keadaan di mana model yang diperhatikan oleh si peniru mendapat hukuman selepas melakukan tingkah laku yang tertentu. Sebagai hasilnya, si peniru tidak akan melakukan tingkah laku yang diperhatikan daripada model tersebut. Hal ini melihatkan pembelajaran sebagai proses yang tidak menghasilkan tingkaha laku seperti yang dijelaskan dalam prinsip yang kedua iaitu proses pembelajaran akan berlaku sama ada terdapat perubahan tingkah laku atau tidak. Dalam keadaan pemodelan ini, si peniru sebenarnya telah mempelajari bahawa tingkah laku yang diperhatikan adalah sesuatu yang tidak betul. Oleh itu, si peniru tidak melakukan tingkah laku yang diperhatikan. Lantas, tiada sebarang perubahan tingkah laku yang dapat diperhatikan dalam diri si peniru tetapi si peniru telah mempelajari bahawa tingkah laku yang diperhatikan adalah tidak wajar untuk dilakukan.Kedua-dua prinsip ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam eksperimen yang dilakukan oleh Bandura terhadap kanak-kanak tadika (tiga hingga enam tahun) dalam kajiannya pada tahun 1963.

1 comment:

  1. Assalamualaikum . boleh tak tolong terangkan maksud ayat ni . " menerangkan secara ringkas kandungan atau apa yang hendak dihuraikan dalam penulisan ilmiah "

    ReplyDelete